Thursday 13 October 2011

Skrip Pengacara Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan SMK Ghafar Baba Tahun 2011


Assalamualaikum wrt dan Salam Perpaduan

Bismillah itu permulaan kalam,
Dengan nama Allah Khalikul alam,
Berkat Muhammad Sayid Al anam
Memberi rahmat siang dan malam.’

Di sini kita bermadah,
mengucap syukur, Alhamdulillah...
Semoga majlis dilimpah barkah.

Alhamdulillahi wah dah...... 

Yang Berusaha Pn Noridah Ab Rahim, GPK 1,
Pn Hajah Faridah Hassan, GPK HEM,
En Yahya Hassan, GPK Kokurikulum,
Barisan GKMP,
Guru-guru, pemimpin2 murid, dan para pelajar yang dihormati.  

2. KATA ALU-ALUAN
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita aturkan setinggi-tinggi syukur kita ke hadrat Illahi, Tuhan sekalian alam, Tuhan yang maha tinggi dan maha perkasa, kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita diberi luangan waktu dan kesempatan, dianugerahkan kesihatan da kesempatan untuk bersama-sama berhimpun di Dataran warga SMK Ghafar Baba ini dalam majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Tahun 2011. Syukur juga kerana dengan izin-Nya, kita dapat berteduh berbumbungkan redup langit dan damai rasa ceria suasana.

3. NYANYIAN
Memulakan majlis kita, satu penghayatan bersama..
Semua guru dan pelajar diminta berdiri untuk sama-sama menyanyikan lagu Negaraku dan seterusnya memurnikan bibir dengan lagu tema sambutan, lagu Bahasa Jiwa Bangsa.

XXXXXX

Awan bersua citra berkisah
Ukiran sukma kilauan kelisa
Lagu Bahasa Jiwa Bangsa berkumandang sudah
Bingkisan ucapan menyusul pula

Kalungan penghargaan buat semua. 
Semua guru dan pelajar dipersilakan duduk.

Guru-guru dan para pelajar yang dihormati,
Bulan Bahasa Kebangsaan berlangsung sepanjang bulan Oktober di seluruh negara. Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini adalah merupakan suatu usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan kita sebagai bahasa komunikasi, bahasa ilmu, bahasa sejagat wahana perpaduan rakyat.

4. DOA
Tetak buluh panjang sepuluh,
Mari jolok sarang penyengat,
Angkat tangan jari sepuluh,
Doa diminta biar selamat.

Agar pertemuan ini diredai, majlis dirahmati,
Pihak majlis mempersilakan Ustaz Mohd Haziman Mohamad untuk memimpin bacaan doa.
Dipersilakan..

XXXXXXX

Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Mohd Haziman atas bacaan doa sebentar  tadi.

5. UCAPAN PERASMIAN
Selasih mejkar di tengah desa
Mencelah sama kembang melati
Bahasa kebangsaan jiwa bangsa
Perpaduan disemai bersatu hati

Melilit rotan di dahan Ara
Di celah angsana mekar sekata
Ucapan alu-aluan pembuka bicara
GPK 1 bermadah kata

Rajan-rakan guru dan para pelajar yang dikasihi.

Pihak majlis dengan hormatnya mempersilakan Yang Berusaha Pn Noridah Ab Rahim, GPK 1 SMK Ghafar Baba untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya melancarkan Bula Bahasa Kebangsaan SMK Ghafar Baba Tahun 2011. 
Dipersilakan.. 

XXXXXXX

Demikianlah ucapan telus membawa mesej kudus Pn Noridah Ab. Rahim.
Pihak majlis merakamkan sekalungan penghargaan dan ucapan terima kasih atas ucapan perasmian yang telah disampaikan.

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sarat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Bermartabat bangsa kerana bahasa

Pihak Panitia Bahasa Melayu telah merancang pelbagai aktiviti sepanjang sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini. Para pelajar boleh merujuk maklumat berkaitan aktiviti di papan maklumat kelas dan papan kenyataan Panitia Bahasa Melayu. Diharapkan pelajar-pelajar memberi sokongan dan kerjasama bagi setiap aktiviti yang telah dirancang. 

Cincin suasa tersemat di jari
Hiasan tersohor DatoBahaman
Bahasa Kebangsaan indah terperi
Menjulang martabat zaman berzaman

6. PERSEMBAHAN 
Sebelum majlis berlabuh tirai, sebelum titik bertemu noktah, majlis akan diserikan dengan persembahan kebudayaan.

XXXXXXXXX

Pihak majlis merakam setinggi-tinggi penghargaan atas persmbahan yang telah disampaikan.

Majlis kita sampai ke penghujungnya.

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa

Jejaran mengkudu bias kesuma
Dicelah angsana di Kuala Sedeli
Akhir di sini noktah bersama
Di lain masa bersua kembali

Sekian, Wassalamualaikum Wbt.

md muzaini said smk ghafar baba 13 oktober 2011 

8 comments: