Salam sejahtera.
Bertemu kita sekali lagi dalam arena forum.
Saya, Nur Nazirah Yaakub akan bersama-sama
anda untuk mengupas satu tajuk iaitu Memperkasa Bidang
Pertanian Baru di Negara Kita.
Hadirin warga dewan yang dihormati,
Bidang pertanian kini telah diberi nafas
baru oleh kerajaan. Semasa pembentangan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan
(RMK-9), Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, mahu Pertanian Baru diperkasa dan
menjadi enjin pertumbuhan ekonomi ketiga selepas industri pembuatan dan
perkhidmatan. Bagi membincangkan tajuk ini secara mendalam, bersama-sama saya pada
pagi ini ialah tiga orang ahli panel, iaitu
Di sebelah kanan saya,Ahli panel pertama, Saudara
Mohd Fauzan.
Apa khabar Saudara?
Mohd Fauzan : Alhamdulillah, Khabar Baik.
Seterusnya, Saudari Hidayah. Apa khabar
saudari?
Hidayah(X) : Baik-baik saja.
Dan ahli penel ketiga, Saudari Fadhilah. Saudari
nampak ceria pada hari ini...
Fadhilah (Y) : Ya, alhamdullillah, saya cukup sihat pada
hari ini.
Selamat datang dan selamat berforum saya ucapkan
kepada ketiga-tiga panel kita.
Ketiga-tiga ahli panel: Sama-sama (Mengagguk-angguk)
Hadirin yang dihormati, Saya ingin membuka
perbincangan kita pada pagi ini dengan menujukan soalan pertama saya kepada Sdr
Mohd Fauzan.
Saudara, apakah sebenarnya pertanian baru
dalam konteks perbincangan kita pada pagi ini?
Sdr. Mohd Fauzan: Terima kasih saudari pengerusi.
Saudari pengerusi, rakan-rakan dan hadirin yang
dihormati.
Pertanian baru di sini merujuk
kepada pertanian yang bukan dalam bentuk pertanian lama. Pertanian baru
melibatkan proses menambah nilai kepada hasil-hasil produk pertanian.
Contohnya, pengeluaran padi
bukan untuk makanan semata-mata, tetapi ia boleh diproses dalam bentuk
makanan-makanan lain.Jika ikan, bukan sahaja ikan untuk makanan, tetapi boleh
diproses dalam bentuk makanan-makanan yang ditinkan, disejukbekukan, dan
sebagainya.
Selain itu, pertanian baru
juga berkait rapat dengan dasar membangunkan program pertanian dengan memberi
tumpuan kepada usaha meningkatkan nilai rantaian dan meneroka aktiviti
berasaskan pertanian yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.
Sebagai contoh, proses
memperkasa sektor pertanian berkait rapat dengan pelbagai sistem teknologi,
termasuk sektor ICT. Wallahua’lam.
Pada pandangan Sdr, mengapakah bidang pertanian
baru dipilih sebagai penjana ekonomi ketiga dalam RMK-9?
Sdr. Mohd Fauzan: Pertamanya, kerana kita mendapati bahawa
sebahagian besar daripada rakyat kita
terlibat dalam sektor pertanian. Mengikut kajian pada tahun 2005, hampir lebih
daripada sejuta bilangan keluarga yang terlibat dalam sektor pertanian.
Sebahagian besar daripada mereka ini tinggal di luar bandar dan merupakan
masyarakat Bumiputera ataupun Melayu. Jadi, atas dasar itu, kerajaan
berpendapat bahawa penekanan perlu diberi kepada bidang pertanian untuk
memastikan tidak wujud jurang ekonomi yang terlalu luas antara masyarakat
bandar dan luar bandar.
Keduanya, kerajaan mendapati
situasi sekarang lebih global dan jumlah penduduk dunia semakin meningkat. Hal
ini sudah tentu menyebabkan keperluan untuk bahan-bahan makanan semakin hari
semakin bertambah. Jadi, kita perlu mengambil bahagian dalam memenuhi keperluan
terhadap permintaan makanan yang meningkat.
Ketiganya, sektor pertanian
mempunyai banyak ruang dan potensi yang belum kita jana. Sebagai contoh, di
negara kita masih banyak tanah pertanian yang belum dibangunkan secara
sewajarnya bagi manfaat rakyat dan negara. Jadi, bidang pertanian mesti
memainkan peranan penting dan mengambil bahagian secara dominan dalam memajukan
tanah-tanah terbiar ini.
Terima kasih Sdr Mohd Fauzan atas
pandangan tadi.
Saya ingin beralih kepada Saudari X.
Saudari, Sdr Fauzan telah menjelaskan
sebab-sebab bidang pertanian diberi tumpuan dalam RMK-9. Tetapi, ada sesetengah
pihak yang menganggap bahawa tindakan untuk menumpukan kepada sektor pertanian
ini dilihat seolah-olah negara kita ingin mengundur ke belakang? Apa komen
Sdri...
Sdri X: Terima kasih saudari pengerusi.
Saudari pengerusi dan hadirin,
pandangan yang mengatakan bahawa penumpuan
terhadap bidang pertanian bermakna negara mengundur ke belakang mungkin
tanggapan sesetengah pihak sahaja. Bagi saya ia tidak benar. Negara-negara maju
di dunia seperti Amerika Syarikat dan Jepun pun tidak mengkesampingkan tumpuan
kepada sektor pertanian. Cuma dari segi nilai, mungkin nilai pertanian agak
kecil berbanding sektor pengeluaran, sektor pembuatan, elektronik, dan automobil.
Nilai sektor-sektor ini berbilion-bilion. Tetapi, saudari pengerusi dan
hadirin,
Harus kita sedar bahawa sebenarnya nilai pertanian
pun berbilion-bilion, tetapi kerana harga barang pertanian lebih rendah
berbanding produk daripada sektor lain, maka pertanian dilihat memberi sumbangan
yang kecil.
Selain itu, kita juga perlu
sedar bahawa bahawa kepentingan pengeluaran bahan makanan makin mendesak kerana
bilangan penduduk semakin meningkat. Jadi, seperti yang telah disebut oleh
Saudara Mohd Asri tadi, kita mesti bertindak proaktif untuk menjadi sebuah
negara pengeluar produk makanan.
Selain itu, skop pertanian
adalah luas. Jika kita tidak mengambil bahagian dalam bidang ini dan hanya
mengharapkan untuk mengimport hasil-hasil makanan dari luar, hal ini akan
mendatangkan masalah yang lebih besar. Umpamanya wang kita akan mengalir keluar
hanya untuk menampung keperluan bekalan makanan dalam negara. Sedangkan
sebahagian besarnya boleh kita majukan dan bangunkan sendiri.
Saudari... Adakah ia satu masalah yang serius? Boleh Sdri beri
gambaran ringkas berkenaan nilai import
produk pertanian atau kebergantungan kita terhadap produk makanan dari
luar. Silakan...
Sdri X: Tuan pengerusi dan warga dewan sekalian.
Bagi saya kebergantungan kita terhadap produk
makanan dari negara luar suatu yang serius dan memerlukan perhatian yang
sewajarnya.
Untuk makluman semua, negara kita mengimport
RM15 hingga RM16 bilion nilai barang makanan pada setiap tahun. Antaranya,
daging RM3 bilion, tenusu RM3 bilion, sayur-sayuran RM2 bilion, dan buah-buahan RM4 bilion. Berbilion-bilion
ringgit mencurah, sedangkan sebahagiannya boleh kita keluarkan di dalam negara
kita. Nilai yang saya sebutkan ini tidak termasuk kos yang membabitkan
teknologi dan sumber manusia.
Terima kasih ya Sdri X.
Hadirin
sekalian, Saya ingin beralih pula kepada Sdri Y.
Sdri Y, kita telah mendengar tentang kepentingan
dan rasional penekanan diberi kepada sektor pertanian. Apakah formula dan pelan
tindakan untuk menjayakan Pertanian baru yang menjadi agenda utama RMK-9 ini?
Sdri Y: Terima kasih Sdri Pengerusi.
Saudari pengerusi dan hadirin yang dihormati.
Sebenarnya, pendekatan dan strateginya sudah pun
ditetapkan dan ditentukan dalam RMK-9. Beberapa aspek telah diberi keutamaan. Antaranya,
soal menambah nilai atau value added.
Dalam hal ini, para pengusaha perlu diberi latihan untuk menggunakan
teknologi-teknologi baru bagi menambah hasil pengeluaran negara. Hal ini untuk membantu
meningkatkan produktiviti mereka.
Selain itu, kerajaan juga perlu
menarik penyertaan yang besar, usahawan tani yang bermodal besar, dan
pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara. Syarikat-syarikat Milik Kerajaan (yang
biasa kita sebut sebagai GLC) atau syarikat swasta juga perlu tampil membantu
perkembangan sektor pertanian.
Hal ini kerana proses memperkasa
pertanian baru ini memerlukan modal yang besar, berskala besar dan memerlukan teknologi
termoden. Jadi, kesemua ini hanya mampu dibiayai oleh pengusaha-pengusaha besar
berminda antarabangsa.
Contohnya, untuk mengusahakan
sektor perikanan laut dalam dan bidang akuakultur yang belum diterokai sepenuhnya
di negara kita, sudah tentu memerlukan modal yang banyak dan kepakaran yang
tinggi. Di negara-negara lain seperti Thailand, sektor perikanan laut dalam dan
bidang akuakulturnya sudah diteroka secara meluas. Dalam hal ini kita jauh
ketinggalan. Sekarang, dengan mengambil kira sumber yang ada, negara kita seharusnya
telah membuka lebih kurang 50 hingga 60 ribu hektar keluasan laut untuk
memanfaatkan khazanah lautan kita.
Saudari, maknanya peranan pengusaha dan
pelabur besar amat penting dalam memperkasa sektor pertanian baru ini..
Sdri Y: Ya, memang cukup penting.
Bagaimana pula dengan petani dan pengusaha
ladang serta ternakan yang berskala kecil?
Sdri. Y: Saudari pengerusi dan warga dewan yang dimuliakan,
kerajaan sebenarnya telah menyediakan banyak
kemudahan dan peruntukan untuk membantu golongan petani kecil dan sederhana.
Pelbagai skim dan insentif
telah disediakan. Masalahnya, segala kemudahan dan insentif ini tidak diketahui
oleh kebanyakan petani berskala kecil. Oleh hal yang demikian, Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan dan Agensi di bawahnya mesti
menggembleng tenaga bagi menerangkan kepada orang ramai potensi sektor
pertanian secara bersepadu.
Selain itu, pegawai-pegawai di
kementerian juga perlu turun padang untuk bertemu kumpulan sasar. Dengan itu,
masalah-masalah seperti tidak tahu bagaimana ingin memasarkan pengeluaran dan
kekurangan kemudahan dapat diatasi. Masalah berkaitan pembangunan tanah terbiar
juga dapat diselesaikan. Di pihak petani pula, mereka seharusnya proaktif dan
bijak mencari serta meneroka peluang-peluang yang disediakan.
Kemudahan-kemudahan dan peluang-peluang yang disediakan perlu dimanfatkan. Wallahu’alam.
Sdr. Mohd Fauzan: Saudari pengerusi izinkan saya menambah
berkenaan pandangan yang telah disebut oleh Sdri Y tadi.
Silakan....
Sdr. Mohd Fauzan: Terima kasih. Saya cukup bersetuju dengan
pandangan Sdri Y tadi. Selain langkah-langkah yang disebutkan oleh Sdri Y,
kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga sentiasa
menjalankan kursus-kursus dan latihan kepada golongan petani, belia dan wanita
tani supaya mereka menceburi dan melaksanakan projek-projek pertanian. Semua
ini dilaksanakan bukan sahaja untuk meningkatkan hasil produktiviti tetapi juga
untuk meningkatkan kemahiran serta pendapatan petani.
Hadirin sekalian,
Sebenarnya pihak kementerian
juga menyediakan banyak kursus dan latihan. Antaranya ialah Kursus Teknikal
Pertanian, Kursus Keusahawanan dan Pengurusan, Kursus Pemprosesan Makanan,
Kursus Kraf, Latihan Penempatan di tempat usahawan berjaya, Lawatan ke Projek
Maju, dan banyak lagi.
Maknanya memang banyaklah program yang
boleh diikuti oleh masyarakat petani...
Sdr Fauzan: Ya, memang banyak! Sesiapa yang ingin mendapatkan
maklumat lanjut berkenaan kursus dan latihan yang disediakan boleh melayari
laman web rasmi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Cuma, seperti
yang telah disebutkan oleh Sdri Y tadi, masyarakat petani tidak seharusnya
bersikap tunggu dan lihat. Mesti proaktif mencari peluang.
Saudara Fauzan, kita telah membincangkan
aspek kepentingan sektor pertanian baru dan kemudahan yang disediakan untuk
menghasilkan produk yang diingini. Bagaimana pula dengan aspek pasaran? Boleh
Sda Fauzan jelaskan...
Saudari Pengerusi,
Soal mencari pasaran baru
untuk produk pertanian juga diberi
penekanan. Aspek penghasilan produk dan pemasaran produk saling berkaitan.
Proses memperkasa bidang pertanian baru sudah tentu turut membabitkan aspek
pemasaran.
Memang menjadi hasrat kerajaan
untuk mengkomersialkan hasil pertanian terpilih ke peringkat antarabangsa.
Hasrat ini amat jelas seperti yang terkandung dalam Pelan Imbangan Perdagangan
atau BOT. Dalam pelan BOT, salah satu strategi yang dicadangkan ialah
meningkatkan eksport produk pertanian negara dengan lebih besar dalam tempoh
lima tahun.
Untuk merealitikannya, negara
kita perlu mencari pasaran baru dan berusaha untuk meneroka ke pasaran eksport
bagi setiap produk yang dihasilkan. Mencari pasaran baru di luar negara bukan
satu tugas yang mudah. Beberapa aspek perlu diambil kira seperti perundingan
untuk menembusi pasaran, kualiti hasil pengeluaran, dan setakat mana produk
yang dikeluarkan memenuhi piawaian-piawaian antarabangsa. Piawaian bagi setiap
negara juga berbeza. Semua ini sudah tentu perlu diambil kira oleh kerajaan.
Terima kasih Saudara Fauzan atas
penjelasan tadi.
Saya ingin kembali kepada Sdri X.
Kita telah mendengar kemudahan-kemudahan
yang disediakan untuk merealitikan kejayaan bidang pertanian baru di negara
kita. PM sendiri dalam pembentangan bajet, menyebut bahawa bajet bagi pertanian
baru adalah sebanyak RM11.4 bilion bagi lima tahun rancangan berkenaan, iaitu
peninkatan 70 peratus berbanding peruntukan dalam RMK-8. Jadi, apa lagi masalah
untuk memperkasa bidang pertanian baru ini?
Sdri X: Saudari pengerusi dan hadirin,
pelaksanaan perancangan untuk memajukan sektor
pertanian baru memerlukan beberapa angkubah luaran bagi menjayakannya.
Angkubah-angkubah ini termasuklah
perubahan minda dalam kalangan warga petani, kerjasama Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri, kerjasama antara pelbagai agensi dan
pihak swasta. Keadaan ini menunjukkan bahawa kejayaan sektor pertanian
bergantung kepada banyak pihak yang saling berkait antara satu sama lain. Jika
ia tidak diselaraskan dengan kemas, pelbagai masalah akan timbul.
Selain itu, isu tanah juga
adalah amat kritikal bagi mencapai pertumbuhan sektor pertanian baru seperti
yang diunjurkan bagi tempoh RMK-9. Dalam sub sektor tanaman pertanian, tanaman
buah-buahan dijangka memerlukan keluasan tambahan sebanyak 79 650 hektar untuk
meningkatkan pengeluaran sehingga 3.3 juta tan metrik menjelang tahun 2010.
Tanaman sayur-sayuran pula akan melibatkan keluasan tanah tambahan sebanyak 11
740 hektar bagi menambahkan pengeluaran sehingga 1.9 juta tan. Manakala bagi
sub sektor akuakultur pula, memerlukan kawasan tanah baru seluas 38 413 hektar.
Terima kasih Saudari X atas penjelasan tadi.
Saya ingin kembali kepada Sdri Y.
Kita telah membincangkan isu ini dengan
agak mendalam meliputi aspek kekangan-kekangan untuk memperkasa bidang
pertanian baru. Tetapi, apakah kekuatan yang ada pada negara kita untuk
merealisasikan dan merealitikan hasrat untuk menjadikan pertanian sebagai enjin
pertumbuhan ekonomi ketiga dalam pembangunan negara.
Sdri Y: Terima kasih saudari pengerusi, satu soalan yang
menarik untuk dibincangkan..
Pada pendapat saya, kita
mempunyai beberapa kekuatan untuk menjayakan sektor pertanian baru ini. Pertamanya,
Allah SWT telah membekalkan negara kita dengan banyak sumber semula jadi seperti
bumi hijau yang subur, cuaca tropikal
yang baik dan hujan serta sumber perikanan marin lautan biru. Kesemua anugerah
semulajadi daripada Tuhan ini membolehkan Malaysia menjadi negara pengeluar
hasil pertanian.
Kedua, Dasar Bioteknologi
Negara telah dijalankan telah dapat mengenal pasti pembangunan
agro-bioteknologi untuk menghasilkan produktiviti yang tinggi dalam tanaman,
ternakan, dan perikanan. Pembangunan industri agro-bioteknologi ini dapat
membantu menghasilkan produk-produk pertanian yang mempunyai nilai yang tinggi,
selamat, dan berkualiti selaras dengan matlamat Dasar Pertanian Negara.
Ketiga, status negara sebagai
sebuah negara Islam, memberi kedudukan yang unik untuk meletakkan negara kita
sebagai pusat penghasil dan pengeluar utama produk halal. Dalam hal ini,
kerajaan melalui pelbagai agensinya telah bertindak untuk menjadikan Malaysia
sebagai pengeluar utama produk halal.
Akhirnya, saya ingin menujukan soalan trakhir
kepada Saudari Y. Apakah harapan dan kesimpulan yang boleh saudari nyatakan terhadap isu yang kita bincangkan pada hari
ini.
Sdri Y: Terima kasih Sdri pengerusi,
Saudari pengerusi, rakan-rakan, dan warga dewan
yang dimuliakan,
Untuk menjayakan hasrat murni ini, peranan pelbagai pihak khususnya
masyarakat petani amat diperlukan. Sejarah menunjukkan bahawa kekayaan dan
pertumbuhan ekonomi sesebuah negara diterajui oleh golongan usahawan dan
bukannya pihak kerajaan semata-mata. Kerajaan hanya dapat menentukan dasar dan
hala tuju serta pogram-pogram spesifik bagi pembangunan sektor pertanian yang
ingin dimajukan tetapi kejayaannya bergantung kepada petani, penternak,
nelayan, usahawan tani, dan pelabur yang
menyahut cabaran ini.
Dalam jangka masa yang
panjang, kita mahu perubahan ke arah menjadikan Pertanian Sebagai Satu
Perniagaan. Transformasi ini memerlukan pembudayaan keusahawanan dalam
pertanian supaya dapat melahirkan satu generasi usahawan yang kerketrampilan
yang mampu bersaing dalam dunia perniagaan yang kian kompetitif dan global.
Sekian. Terima kasih.
Terima kasih Sdri Y.
Demikianlah idea-idea yang telah dikemukan
oleh barisan ahli panel kita. Diharapkan segala isu yang telah dibincangkan
dapat merungkai persoalan-persoalan yang ditimbulkan dan memberi manfaat kepada
kita. Sekian.
Dengan itu berakhirnya majlis forum kita
pada hari ini.
Terima kasih diucapkan kepada ketiga-tiga
ahli panel kita pada pagi ini.
Saudara Mohd Fauzan, Saudari X, dan Sdri Y.
Saya selaku pengerusi forum memohon maaf
sekiranya ada melakukan kesilapan ketika mempengerusikan majlis ilmu ini.
Baju
kebaya berkain belah;
Berselendang renda putih bersih;
Maafkan
kami silap dan salah;
Sekian sahaja, terima kasih.
Sekian..