Wednesday 26 October 2011

Cara untuk Menunjukkan Kasih Sayang Terhadap Ibu Bapa

  Ibu bapa merupakan insan yang banyak berjasa kepada kita. Memang tidak dapat dinafikan bahawa seseorang ibu telah melahirkan kita dan seseorang bapa pula sentiasa bersusah payah mencari rezeki untuk menampung segala keperluan kita. Tambahan pula, seseorang ibu bapa telah banyak mengorbankan masa untuk mendidik kita supaya menjadi seorang insan yang berbudi bahasa dan berakhlak mulia. Sebagai contoh, ibu bapa memberikan pendidikan tambahan seperti tuisyen. Malangnya, pada era globalisasi ini, terdapat anak-anak tidak mengenang jasa ibu bapa. Terdapat sesetengah anak yang sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua. Hal ini berlaku kerana mereka berasa susah untuk memenuhi keinginan ibu bapa yang telah uzur dan nyanyuk. Pada pendapat saya, hal ini tidak boleh dibiarkan daripada terus menerus. Oleh itu, sebagai anak, kita haruslah mentaati ibu bapa dan menunjukkan kasih sayang kita kepada ibu bapa dengan cara-cara yang tertentu.
   Pada pandangan saya, cara yang paling penting untuk kita mentaati ibu bapa ialah mencurahkan kasih sayang kita kepada ibu bapa sebagaimana ibu kita pernah menumpahkan kasih sayang dan menatang kita bagai minyak yang penuh. Sebagai contoh, kita bolehlah berbual-bual dengan ibu bapa, menghiburkan hati mereka dan membawa mereka melancong ke luar negara. Walaupun sesetengah anak sibuk dengan pekerjaan, tetapi sewajarnya mereka meluangkan masa untuk menemani ibu bapa. Dengan berbuat demikian, kedua-dua ibu bapa akan berasa gembira dan tidak berasa diabaikan oleh anak-anak.
    Selain itu, kita haruslah memberi wang atau hadiah kepada ibu bapa sebagai tanda penghargaan dan tanda penghormatan. Hadiah boleh diberi semasa hari jadi atauhari-hari yang penuh makna kepada mereka. Wang pula untuk meringankan beban ibu bapa yang telah uzur dan tidak larat untuk bekerja. Anak-anak yang telah mendapat pekerjaan sewajarnya membalas jasa mereka. Pelbagai cara boleh dilakukan seperti membeli insurans untuk kegunaan pembiayaan kesihatan mereka. Jika anak-anak sibuk bekerja, kita bolehlah mengupah pembantu rumah untuk menjaga ibu bapa. Pembantu rumah boleh membantu membersihkan rumah, menyediakan makanan dan menjaga pengurusan diri ibu bapa. Dengan adanya pembantu rumah, seseorang anak boleh menumpukan terhadap pekerjaan.
    Seseorang anak juga perlu sentiasa mentaati dan mendengar kata dan arahan ibu bapa. Hal ini kerana setiap kata-kata ataupun leteran ibu bapa kepada anak adalah untuk kebaikan. Sebagai insan yang lebih banyak makan garam, pastinya mereka telah mengharungi pelbagai cabaran yang belum kita tempohi. Perasaan orang tua sememangnya amat sensitif. Mereka perlu dibelai dan sentiasa diberi perhatian. Cuba untuk menunaikan setiap permintaan mereka tentu sekali dapat menggembirakan hati dan menyenangkan perasaan mereka.
    Belajar bersungguh-sungguh dan gigih menuntut ilmu juga satu usaha untuk menunjukkan kasih sayang kita kepada ibu bapa. Amalan murni seperti ini akan mengembirakan perasaan ibu bapa.Kita juga boleh memasakkan makanan kegemaran ibu bapa kita sebagai simbol kasih sayang kita kepadanya. Seseorang ibu bapa pasti sangat berbesar hati apabila makanan kegemarannya mereka dimasak oleh anak sendiri.Amalan seperti ini boleh meningkatkan kasih sayang mereka kepada kita.  
    Konkolusinya, berbagai-bagai tindakan boleh dilakukan untuk menghargai jasa ibu bapa. Sesungguhnya, seseorang anak bertanggungjawab untuk menjaga ibu bapa selagi nyawa mereka dikandung badan. Hal ini bukan sahaja untuk membalas jasa mereka tetapi juga agar mereka berasa bangga terhadap usaha yang dilakukan untuk membesarkan anak-anak.

Nukilan: Teo Pei Ngor. 2KIV
              SMK Ghafar Baba.

7 comments: