Sunday 17 March 2013

Teks Forum SMK Ghafar Baba. Memperkasa Bidang Pertanian Baru di Negara Kita


Salam sejahtera.

Bertemu kita sekali lagi dalam arena forum.
Saya, Nur Nazirah Yaakub akan bersama-sama anda untuk mengupas satu tajuk iaitu Memperkasa Bidang Pertanian Baru di Negara Kita. 

Hadirin warga dewan yang dihormati,

Bidang pertanian kini telah diberi nafas baru oleh kerajaan. Semasa pembentangan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, mahu Pertanian Baru diperkasa dan menjadi enjin pertumbuhan ekonomi ketiga selepas industri pembuatan dan perkhidmatan. Bagi membincangkan tajuk ini secara mendalam, bersama-sama saya pada pagi ini ialah tiga orang ahli panel, iaitu

Di sebelah kanan saya,Ahli panel pertama, Saudara Mohd Fauzan.
Apa khabar Saudara?
Mohd Fauzan : Alhamdulillah, Khabar Baik.
Seterusnya, Saudari Hidayah. Apa khabar saudari?
Hidayah(X) :  Baik-baik saja.
Dan ahli penel ketiga, Saudari Fadhilah. Saudari nampak ceria pada hari ini...
Fadhilah (Y) : Ya, alhamdullillah, saya cukup sihat pada hari ini.
Selamat datang dan selamat berforum saya ucapkan kepada ketiga-tiga panel kita.
Ketiga-tiga ahli panel: Sama-sama (Mengagguk-angguk)

Hadirin yang dihormati, Saya ingin membuka perbincangan kita pada pagi ini dengan menujukan soalan pertama saya kepada Sdr Mohd Fauzan.
Saudara, apakah sebenarnya pertanian baru dalam konteks perbincangan kita pada pagi ini?

Sdr. Mohd Fauzan: Terima kasih saudari pengerusi.
Saudari pengerusi, rakan-rakan dan hadirin yang dihormati.  
Pertanian baru di sini merujuk kepada pertanian yang bukan dalam bentuk pertanian lama. Pertanian baru melibatkan proses menambah nilai kepada hasil-hasil produk pertanian.
Contohnya, pengeluaran padi bukan untuk makanan semata-mata, tetapi ia boleh diproses dalam bentuk makanan-makanan lain.Jika ikan, bukan sahaja ikan untuk makanan, tetapi boleh diproses dalam bentuk makanan-makanan yang ditinkan, disejukbekukan, dan sebagainya.
Selain itu, pertanian baru juga berkait rapat dengan dasar membangunkan program pertanian dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan nilai rantaian dan meneroka aktiviti berasaskan pertanian yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.
Sebagai contoh, proses memperkasa sektor pertanian berkait rapat dengan pelbagai sistem teknologi, termasuk sektor ICT.  Wallahua’lam.

Pada pandangan Sdr, mengapakah bidang pertanian baru dipilih sebagai penjana ekonomi ketiga dalam RMK-9?

Sdr. Mohd Fauzan: Pertamanya, kerana kita mendapati bahawa sebahagian besar daripada rakyat  kita terlibat dalam sektor pertanian. Mengikut kajian pada tahun 2005, hampir lebih daripada sejuta bilangan keluarga yang terlibat dalam sektor pertanian. Sebahagian besar daripada mereka ini tinggal di luar bandar dan merupakan masyarakat Bumiputera ataupun Melayu. Jadi, atas dasar itu, kerajaan berpendapat bahawa penekanan perlu diberi kepada bidang pertanian untuk memastikan tidak wujud jurang ekonomi yang terlalu luas antara masyarakat bandar dan luar bandar.
Keduanya, kerajaan mendapati situasi sekarang lebih global dan jumlah penduduk dunia semakin meningkat. Hal ini sudah tentu menyebabkan keperluan untuk bahan-bahan makanan semakin hari semakin bertambah. Jadi, kita perlu mengambil bahagian dalam memenuhi keperluan terhadap permintaan makanan yang meningkat.
Ketiganya, sektor pertanian mempunyai banyak ruang dan potensi yang belum kita jana. Sebagai contoh, di negara kita masih banyak tanah pertanian yang belum dibangunkan secara sewajarnya bagi manfaat rakyat dan negara. Jadi, bidang pertanian mesti memainkan peranan penting dan mengambil bahagian secara dominan dalam memajukan tanah-tanah terbiar ini.

Terima kasih Sdr Mohd Fauzan atas pandangan tadi.
Saya ingin beralih kepada Saudari X.
Saudari, Sdr Fauzan telah menjelaskan sebab-sebab bidang pertanian diberi tumpuan dalam RMK-9. Tetapi, ada sesetengah pihak yang menganggap bahawa tindakan untuk menumpukan kepada sektor pertanian ini dilihat seolah-olah negara kita ingin mengundur ke belakang? Apa komen Sdri...

Sdri X: Terima kasih saudari pengerusi.
Saudari pengerusi dan hadirin,
pandangan yang mengatakan bahawa penumpuan terhadap bidang pertanian bermakna negara mengundur ke belakang mungkin tanggapan sesetengah pihak sahaja. Bagi saya ia tidak benar. Negara-negara maju di dunia seperti Amerika Syarikat dan Jepun pun tidak mengkesampingkan tumpuan kepada sektor pertanian. Cuma dari segi nilai, mungkin nilai pertanian agak kecil berbanding sektor pengeluaran, sektor pembuatan, elektronik, dan automobil. Nilai sektor-sektor ini berbilion-bilion. Tetapi, saudari pengerusi dan hadirin,
Harus kita sedar bahawa sebenarnya nilai pertanian pun berbilion-bilion, tetapi kerana harga barang pertanian lebih rendah berbanding produk daripada sektor lain, maka pertanian dilihat memberi sumbangan yang kecil.
Selain itu, kita juga perlu sedar bahawa bahawa kepentingan pengeluaran bahan makanan makin mendesak kerana bilangan penduduk semakin meningkat. Jadi, seperti yang telah disebut oleh Saudara Mohd Asri tadi, kita mesti bertindak proaktif untuk menjadi sebuah negara pengeluar produk makanan.
Selain itu, skop pertanian adalah luas. Jika kita tidak mengambil bahagian dalam bidang ini dan hanya mengharapkan untuk mengimport hasil-hasil makanan dari luar, hal ini akan mendatangkan masalah yang lebih besar. Umpamanya wang kita akan mengalir keluar hanya untuk menampung keperluan bekalan makanan dalam negara. Sedangkan sebahagian besarnya boleh kita majukan dan bangunkan sendiri.

Saudari... Adakah ia  satu masalah yang serius? Boleh Sdri beri gambaran ringkas berkenaan nilai import  produk pertanian atau kebergantungan kita terhadap produk makanan dari luar. Silakan...

Sdri X: Tuan pengerusi dan warga dewan sekalian.
Bagi saya kebergantungan kita terhadap produk makanan dari negara luar suatu yang serius dan memerlukan perhatian yang sewajarnya.
 Untuk makluman semua, negara kita mengimport RM15 hingga RM16 bilion nilai barang makanan pada setiap tahun. Antaranya, daging RM3 bilion, tenusu RM3 bilion, sayur-sayuran RM2 bilion,  dan buah-buahan RM4 bilion. Berbilion-bilion ringgit mencurah, sedangkan sebahagiannya boleh kita keluarkan di dalam negara kita. Nilai yang saya sebutkan ini tidak termasuk kos yang membabitkan teknologi dan sumber manusia.

Terima kasih ya Sdri X.
 Hadirin sekalian, Saya ingin beralih pula kepada Sdri Y.
Sdri Y, kita telah mendengar tentang kepentingan dan rasional penekanan diberi kepada sektor pertanian. Apakah formula dan pelan tindakan untuk menjayakan Pertanian baru yang menjadi agenda utama RMK-9 ini?

Sdri Y: Terima kasih Sdri Pengerusi.
Saudari pengerusi dan hadirin yang dihormati.
Sebenarnya, pendekatan dan strateginya sudah pun ditetapkan dan ditentukan dalam RMK-9. Beberapa aspek telah diberi keutamaan. Antaranya, soal menambah nilai atau value added. Dalam hal ini, para pengusaha perlu diberi latihan untuk menggunakan teknologi-teknologi baru bagi menambah hasil pengeluaran negara. Hal ini untuk membantu meningkatkan produktiviti mereka.
Selain itu, kerajaan juga perlu menarik penyertaan yang besar, usahawan tani yang bermodal besar, dan pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara. Syarikat-syarikat Milik Kerajaan (yang biasa kita sebut sebagai GLC) atau syarikat swasta juga perlu tampil membantu perkembangan sektor pertanian.
Hal ini kerana proses memperkasa pertanian baru ini memerlukan modal yang besar, berskala besar dan memerlukan teknologi termoden. Jadi, kesemua ini hanya mampu dibiayai oleh pengusaha-pengusaha besar berminda antarabangsa.
Contohnya, untuk mengusahakan sektor perikanan laut dalam dan bidang akuakultur yang belum diterokai sepenuhnya di negara kita, sudah tentu memerlukan modal yang banyak dan kepakaran yang tinggi. Di negara-negara lain seperti Thailand, sektor perikanan laut dalam dan bidang akuakulturnya sudah diteroka secara meluas. Dalam hal ini kita jauh ketinggalan. Sekarang, dengan mengambil kira sumber yang ada, negara kita seharusnya telah membuka lebih kurang 50 hingga 60 ribu hektar keluasan laut untuk memanfaatkan khazanah lautan kita.

Saudari, maknanya peranan pengusaha dan pelabur besar amat penting dalam memperkasa sektor pertanian baru ini..

Sdri Y: Ya, memang cukup penting.

Bagaimana pula dengan petani dan pengusaha ladang serta ternakan yang berskala kecil?

Sdri. Y: Saudari pengerusi dan warga dewan yang dimuliakan,
kerajaan sebenarnya telah menyediakan banyak kemudahan dan peruntukan untuk membantu golongan petani kecil dan sederhana.
Pelbagai skim dan insentif telah disediakan. Masalahnya, segala kemudahan dan insentif ini tidak diketahui oleh kebanyakan petani berskala kecil. Oleh hal yang demikian, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan dan Agensi di bawahnya mesti menggembleng tenaga bagi menerangkan kepada orang ramai potensi sektor pertanian secara bersepadu.
Selain itu, pegawai-pegawai di kementerian juga perlu turun padang untuk bertemu kumpulan sasar. Dengan itu, masalah-masalah seperti tidak tahu bagaimana ingin memasarkan pengeluaran dan kekurangan kemudahan dapat diatasi. Masalah berkaitan pembangunan tanah terbiar juga dapat diselesaikan. Di pihak petani pula, mereka seharusnya proaktif dan bijak mencari serta meneroka peluang-peluang yang disediakan. Kemudahan-kemudahan dan peluang-peluang yang disediakan perlu dimanfatkan. Wallahu’alam.

Sdr. Mohd Fauzan: Saudari pengerusi izinkan saya menambah berkenaan pandangan yang telah disebut oleh Sdri Y tadi.

Silakan....

Sdr. Mohd Fauzan: Terima kasih. Saya cukup bersetuju dengan pandangan Sdri Y tadi. Selain langkah-langkah yang disebutkan oleh Sdri Y, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga sentiasa menjalankan kursus-kursus dan latihan kepada golongan petani, belia dan wanita tani supaya mereka menceburi dan melaksanakan projek-projek pertanian. Semua ini dilaksanakan bukan sahaja untuk meningkatkan hasil produktiviti tetapi juga untuk meningkatkan kemahiran serta pendapatan petani.
Hadirin sekalian,
Sebenarnya pihak kementerian juga menyediakan banyak kursus dan latihan. Antaranya ialah Kursus Teknikal Pertanian, Kursus Keusahawanan dan Pengurusan, Kursus Pemprosesan Makanan, Kursus Kraf, Latihan Penempatan di tempat usahawan berjaya, Lawatan ke Projek Maju, dan banyak lagi.

Maknanya memang banyaklah program yang boleh diikuti oleh masyarakat petani...

Sdr Fauzan: Ya, memang banyak!  Sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kursus dan latihan yang disediakan boleh melayari laman web rasmi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Cuma, seperti yang telah disebutkan oleh Sdri Y tadi, masyarakat petani tidak seharusnya bersikap tunggu dan lihat. Mesti proaktif mencari peluang.

Saudara Fauzan, kita telah membincangkan aspek kepentingan sektor pertanian baru dan kemudahan yang disediakan untuk menghasilkan produk yang diingini. Bagaimana pula dengan aspek pasaran? Boleh Sda Fauzan  jelaskan...

Saudari Pengerusi,
Soal mencari pasaran baru untuk  produk pertanian juga diberi penekanan. Aspek penghasilan produk dan pemasaran produk saling berkaitan. Proses memperkasa bidang pertanian baru sudah tentu turut membabitkan aspek pemasaran.
Memang menjadi hasrat kerajaan untuk mengkomersialkan hasil pertanian terpilih ke peringkat antarabangsa. Hasrat ini amat jelas seperti yang terkandung dalam Pelan Imbangan Perdagangan atau BOT. Dalam pelan BOT, salah satu strategi yang dicadangkan ialah meningkatkan eksport produk pertanian negara dengan lebih besar dalam tempoh lima tahun.
Untuk merealitikannya, negara kita perlu mencari pasaran baru dan berusaha untuk meneroka ke pasaran eksport bagi setiap produk yang dihasilkan. Mencari pasaran baru di luar negara bukan satu tugas yang mudah. Beberapa aspek perlu diambil kira seperti perundingan untuk menembusi pasaran, kualiti hasil pengeluaran, dan setakat mana produk yang dikeluarkan memenuhi piawaian-piawaian antarabangsa. Piawaian bagi setiap negara juga berbeza. Semua ini sudah tentu perlu diambil kira oleh kerajaan.

Terima kasih Saudara Fauzan atas penjelasan tadi.
 Saya ingin kembali kepada Sdri X.
Kita telah mendengar kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk merealitikan kejayaan bidang pertanian baru di negara kita. PM sendiri dalam pembentangan bajet, menyebut bahawa bajet bagi pertanian baru adalah sebanyak RM11.4 bilion bagi lima tahun rancangan berkenaan, iaitu peninkatan 70 peratus berbanding peruntukan dalam RMK-8. Jadi, apa lagi masalah untuk memperkasa bidang pertanian baru ini?

Sdri X: Saudari pengerusi dan hadirin,
pelaksanaan perancangan untuk memajukan sektor pertanian baru memerlukan beberapa angkubah luaran bagi menjayakannya. Angkubah-angkubah ini termasuklah  perubahan minda dalam kalangan warga petani, kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri, kerjasama antara pelbagai agensi dan pihak swasta. Keadaan ini menunjukkan bahawa kejayaan sektor pertanian bergantung kepada banyak pihak yang saling berkait antara satu sama lain. Jika ia tidak diselaraskan dengan kemas, pelbagai masalah akan timbul.
Selain itu, isu tanah juga adalah amat kritikal bagi mencapai pertumbuhan sektor pertanian baru seperti yang diunjurkan bagi tempoh RMK-9. Dalam sub sektor tanaman pertanian, tanaman buah-buahan dijangka memerlukan keluasan tambahan sebanyak 79 650 hektar untuk meningkatkan pengeluaran sehingga 3.3 juta tan metrik menjelang tahun 2010. Tanaman sayur-sayuran pula akan melibatkan keluasan tanah tambahan sebanyak 11 740 hektar bagi menambahkan pengeluaran sehingga 1.9 juta tan. Manakala bagi sub sektor akuakultur pula, memerlukan kawasan tanah baru seluas 38 413 hektar.  

Terima kasih Saudari X  atas penjelasan tadi.
 Saya ingin kembali kepada Sdri Y.
Kita telah membincangkan isu ini dengan agak mendalam meliputi aspek kekangan-kekangan untuk memperkasa bidang pertanian baru. Tetapi, apakah kekuatan yang ada pada negara kita untuk merealisasikan dan merealitikan hasrat untuk menjadikan pertanian sebagai enjin pertumbuhan ekonomi ketiga dalam pembangunan negara.

Sdri Y: Terima kasih saudari pengerusi, satu soalan yang menarik untuk dibincangkan..
Pada pendapat saya, kita mempunyai beberapa kekuatan untuk menjayakan sektor pertanian baru ini. Pertamanya, Allah SWT telah membekalkan negara kita dengan banyak sumber semula jadi seperti bumi hijau  yang subur, cuaca tropikal yang baik dan hujan serta sumber perikanan marin lautan biru. Kesemua anugerah semulajadi daripada Tuhan ini membolehkan Malaysia menjadi negara pengeluar hasil pertanian.
Kedua, Dasar Bioteknologi Negara telah dijalankan telah dapat mengenal pasti pembangunan agro-bioteknologi untuk menghasilkan produktiviti yang tinggi dalam tanaman, ternakan, dan perikanan. Pembangunan industri agro-bioteknologi ini dapat membantu menghasilkan produk-produk pertanian yang mempunyai nilai yang tinggi, selamat, dan berkualiti selaras dengan matlamat Dasar Pertanian Negara.
Ketiga, status negara sebagai sebuah negara Islam, memberi kedudukan yang unik untuk meletakkan negara kita sebagai pusat penghasil dan pengeluar utama produk halal. Dalam hal ini, kerajaan melalui pelbagai agensinya telah bertindak untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama produk halal.


 Akhirnya, saya ingin menujukan soalan trakhir kepada Saudari Y. Apakah harapan dan kesimpulan yang boleh saudari nyatakan  terhadap isu yang kita bincangkan pada hari ini.

Sdri Y: Terima kasih Sdri pengerusi,
Saudari pengerusi, rakan-rakan, dan warga dewan yang dimuliakan,
Untuk menjayakan hasrat  murni ini, peranan pelbagai pihak khususnya masyarakat petani amat diperlukan. Sejarah menunjukkan bahawa kekayaan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara diterajui oleh golongan usahawan dan bukannya pihak kerajaan semata-mata. Kerajaan hanya dapat menentukan dasar dan hala tuju serta pogram-pogram spesifik bagi pembangunan sektor pertanian yang ingin dimajukan tetapi kejayaannya bergantung kepada petani, penternak, nelayan, usahawan tani, dan pelabur  yang menyahut cabaran ini.
Dalam jangka masa yang panjang, kita mahu perubahan ke arah menjadikan Pertanian Sebagai Satu Perniagaan. Transformasi ini memerlukan pembudayaan keusahawanan dalam pertanian supaya dapat melahirkan satu generasi usahawan yang kerketrampilan yang mampu bersaing dalam dunia perniagaan yang kian kompetitif dan global.
Sekian. Terima kasih.

Terima kasih Sdri Y.

Demikianlah idea-idea yang telah dikemukan oleh barisan ahli panel kita. Diharapkan segala isu yang telah dibincangkan dapat merungkai persoalan-persoalan yang ditimbulkan dan memberi manfaat kepada kita. Sekian.

Dengan itu berakhirnya majlis forum kita pada hari ini.

Terima kasih diucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita pada pagi ini.
Saudara Mohd Fauzan, Saudari X, dan Sdri Y.

Saya selaku pengerusi forum memohon maaf sekiranya ada melakukan kesilapan ketika mempengerusikan majlis ilmu ini.

            Baju kebaya berkain belah;
                Berselendang renda putih bersih;
            Maafkan kami silap dan salah;
               Sekian sahaja, terima kasih.
 Sekian..